[You must be registered and logged in to see this image.]Kekejaman komunis kekal dalam lipatan sejarah
Oleh Ahmad Syah Ejaz Ismail
2011/08/03
Ada pihak berniat jahat cuba ubah fakta atas dakwaan persamaan hakKEBELAKANGAN ini wujud seakan-akan satu pakatan tersusun pihak tertentu
yang cuba mengubah sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan negara dengan
meletakkan tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) sebaris negarawan tanah air.
Usaha halus bertopengkan kebebasan bersuara dan demokrasi hak asasi
manusia ini jelas mengutarakan fakta yang diseleweng dengan niat
merubah sejarah terkutuk perjuangan PKM yang hakikatnya banyak
mengorbankan nyawa sehinggakan fakta penipuan yang dibuat-buat
digambarkan sebagai benar yang harus diterima masyarakat moden Malaysia.
Umum mengetahui, berdekad lamanya terlalu banyak kesengsaraan dan
kematian direkodkan pasukan keselamatan atau orang awam yang tidak
berdosa akibat keganasan PKM. Mungkin ramai tidak mengetahui fakta
sebenar kaum Cina di Tanah Melayu paling ramai menjadi mangsa kekejaman
PKM.
Pada era Perang Dunia Kedua, kebanyakan kaum Cina di Tanah Melayu
mendiami pinggir hutan bagi melarikan diri daripada pemerintahan Jepun
yang kejam terhadap mereka. Selepas perang tamat, demografi penduduk ini
kekal dan PKM dengan mengambil kira bahawa sokongan Cina yang mendiami
pinggir hutan adalah penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan
di hutan, mereka tidak teragak-agak menyeksa dan membunuh kaum ini yang
enggan membantu atau membekalkan maklumat serta makanan. Tun Tan Cheng
Lock pernah cuba dibunuh dengan dilemparkan bom tangan ketika
bermesyuarat di Ipoh, Perak awal 1950-an. Tindakan ini dilakukan kerana
komunis khuatir kejayaan kerjasama Sino-Melayu dalam menuntut
kemerdekaan daripada British bakal menenggelamkan perjuangan PKM yang
sia-sia. Justeru, tidak hairanlah keganasan komunis pada darurat pertama
(1948-1960) banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi Cina
teramai seperti Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di
negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
Kekejaman tidak berperikemanusiaan PKM terhadap kaum Cina ini
direkodkan pasukan keselamatan dan disaksikan pekerja estet. Kaum Cina
diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat
kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM
(guru, profesional dan ahli perniagaan). Mungkin ramai juga tidak
mengetahui kewujudan komunis berbangsa Tamil diketuai pemuda bernama
Perumal yang mengganggu pekerja estet di kalangan kaum India di Sungai
Siput dan Ipoh, Perak awal 1950-an. Semua kekejaman ini dilakukan atas
nama perjuangan Marxist Communism kononnya memperjuangkan hak
kesemarataan tanpa perbezaan kelas. Mungkin fakta dan rekod kekejaman
pengganas PKM sukar diterima masyarakat hari ini, hakikatnya perkara
itu benar-benar berlaku dan direkodkan pasukan keselamatan sebagai
fakta kes.
Semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama diancam
PKM setiap hari. Mereka khuatir menaiki kenderaan awam kerana
disabotaj pengganas komunis. Rakyat turut tidak selamat menaiki
kenderaan sendiri menyusuri jalan raya kerana sering diserang hendap
pengganas yang mencari mangsa tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan
agama kerana terlalu ingin merampas pakaian, makanan dan kad pengenalan
orang awam bagi tujuan subversif.
Pada hari ini ada juga dakwaan yang berani daripada mereka yang buta
sejarah dengan menyatakan kemerdekaan yang diperoleh Tunku Abdul Rahman
pada 31 Ogos 1957 bukan kemerdekaan sepenuhnya dan turut mendakwa jika
bukan disebabkan perjuangan PKM, sukar untuk British memberikan
kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Fakta ini diseleweng untuk menutup perjuangan sia-sia di hutan oleh PKM.
Hakikatnya Tanah Melayu ketika itu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan
bukan selepas ancaman komunis dihapuskan sepenuhnya pada 1960. Ini jelas
menunjukkan British yakin dengan kepemimpinan Tunku yang dilihat mampu
membawa kestabilan berkekalan kepada Tanah Melayu serta rantau Asia
Tenggara walaupun British ketika itu turut diancam teori domino di
Indochina.
Ini membuktikan betapa masalah keganasan komunis bukan faktor British
memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu lebih awal daripada jangkaan
iaitu pada 1960. Mengikut rekod, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi
British yang dilantik oleh Winston Churchill, Perdana Menteri Britain
pada ketika itu diberikan mandat seawal 1952 iaitu menjadi dasar
kerajaan kolonial British bahawa Tanah Melayu diberi kemerdekaan dan hak
memerintah seawal 1960. Jika bukan disebabkan pengorbanan orang awam
menggadaikan barang kemas dan menderma wang ringgit sendiri, delegasi
Tunku Abdul Rahman tidak cukup dana untuk menghadiri perbincangan
Kemerdekaan ke London bersama wakil MCA dan MIC. Hakikatnya yang lebih
jelas pada 28-29 Disember 1955, ketika rundingan Baling, Setiausaha
Agung PKM, Chin Peng ketika itu secara jelas menyatakan jika kerajaan
pimpinan Tunku berjaya mencapai kemerdekaan, PKM tetap meneruskan
perjuangan bersenjata menentang kerajaan Tunku yang dipilih rakyat
kerana dia melihat tiada ruang untuk kerjasama antara parti komunis dan
parti pemerintah (komunis adalah sistem satu parti memerintah).
Ketika rundingan, Tunku berkali-kali menawarkan pengampunan kepada
anggota PKM untuk meletak senjata dan menjadi anggota masyarakat yang
sama-sama membangunkan negara yang bakal merdeka. Peristiwa ini
direkodkan pada hari kedua rundingan dengan Tunku meminta Chin Peng
memikirkan nasib tujuh juta penduduk Tanah Melayu ketika itu yang
menerima kesan buruk akibat perjuangan bersenjata 3,000 pengganas
komunis yang aktif di hutan.
Chin Peng sekali lagi menolak tawaran ini berikutan terlalu taksub
dengan kejayaan Parti Komunis di China tanpa mengambil kira perbezaan
politik di Tanah Melayu. Rundingan Baling walaupun gagal, terus kekal
dalam sejarah sebagai bukti cukup jelas pendirian perjuangan komunis
yang sia-sia dan menyimpang daripada perjuangan kemerdekaan; hakikat ini
tidak dapat dipadam sampai bila-bila oleh sesiapa sekalipun. Jika
diteliti rekod tulisan Chin Peng melalui memoirnya, My Side of Story,
jelas menunjukkan dia tiada pendirian berkenaan objektif perjuangan PKM
di Tanah Melayu dan lebih terikut-ikutkan situasi di China di bawah
Mao Zedong.
INFO
Keganasan komunis
- Kaum lelaki Cina dipotong badan depan keluarga
menggunakan cangkul atau parang berbanding senjata api kerana khuatir
pasukan keselamatan Home Guard dan Gurkha menyiasat bunyi tembakan.
- Pengganas komunis mengeluarkan isi perut atau hati mangsa lalu
memaksa keluarga atau isteri mangsa meletakkan organ ini di atas bara
api.
- Mangsa yang dipotong anggota badan dibiarkan mati terseksa di
depan keluarga dan pekerja estet dibiarkan menyaksikan tragedi malang
ini sebagai peringatan jika enggan bekerjasama dengan PKM.
- Kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman komunis seperti di
Estet Kamuning, Perak pada 1948 apabila mereka menyalib seorang
kanak-kanak atas sebatang kayu.
- Pelbagai seksaan dilakukan terhadap kaum India di Perak oleh
kumpulan Perumal, antaranya mengikat mangsa di pokok getah dan menyeksa
mereka sehingga mati dan ada mangsa dipotong jari kerana kekal bekerja
di ladang getah walaupun diberi amaran.